2021-09-22

Apa Itu NFT dan Bagaimana Ia Merubah Dunia Seni


NFT dari Logan Paul
NFT dari Logan Paul
 

Gambar di atas adalah salah satu daripada koleksi kad NFT yang dihasilkan oleh seorang Youtuber bernama Logan Paul. Harga penjualan untuk koleksi gambar digital ini bermula daripada USD 10,000.

 
 

NFT Pet Rock

Pet Rock
 

Gambar ini pula bernama Pet Rock dan ia dijual bermula pada USD 272,679! Kenapa ada yang sanggup belanjakan sehingga ratusan ribu untuk gambar batu sahaja? Bagaimana gambar yang kita boleh dapat percuma daripada internet boleh dijual dengan harga yang begitu tinggi?

Non-fungible Token (NFT)

 

Non-fungible bermaksud unik dan ia tidak boleh ditukar ganti. Bitcoin adalah fungible, di mana kalau anda tukar satu Bitcoin dengan Bitcoin lain, anda masih dapat Bitcoin yang sama. Contoh lain barang non-fungible adalah kad permainan edisi terhad (contohnya kad Pokemon), yang mungkin hanya satu sahaja kad dikeluarkan.

Majoriti NFT dibina di atas teknologi blockchain Ethereum. Blockchain adalah teknologi yang digunakan bagi semua matawang kripto dan teknologi yang sama juga digunakan untuk NFT. NFT boleh jadi apa sahaja yang berbentuk digital seperti lukisan, muzik, imej GIF, video atau artikel. Malah pengasas Twitter, Jack Dorsey juga menjual tweet pertama beliau melalui NFT. Pada masa kini, NFT banyak digunakan untuk menjual gambar digital.

Keistimewaan NFT

 

Secara logiknya, anda boleh sahaja memuat turun koleksi digital ini secara percuma. Namun anda tidak dapat menjadi pemilik sebenar karya digital tersebut. NFT memberikan anda hak milik terhadap sesuatu karya digital. Ianya ibarat geran rumah dan kereta yang membuktikan anda adalah tuannya. Sebagai contoh, semua orang boleh memiliki lukisan Mona Lisa, tapi hanya ada seorang sahaja yang memiliki lukisan asli Mona Lisa. Bukti hak milik ini akan disimpan dalam blockchain. Tahun ini, sekitar USD 200 juta sebulan telah dibelanjakan bagi karya digital melalui NFT berbanding USD 250 juta sepanjang tahun 2020. Sesetengah pihak melihat NFT bakal merubah dunia seni.

Selama ini artis dan penghasil karya digital tidak mendapat pulangan yang setimpal dengan hasil kerja mereka. Mereka tidak disediakan platform yang sesuai untuk mereka menjual karya digital. Meskipun terjual, orang ramai masih boleh memuat turun karya mereka secara haram. Kini, NFT buat pertama kalinya telah berjaya mencegah perkara ini dengan membawa karya digital ke tahap yang sama dengan karya fizikal yang lain.

Sebelum NFT, karya digital ibarat tiada nilai kerana ianya boleh didapati secara percuma di atas talian. Oleh itu, NFT disambut baik oleh artis-artis digital sebagai sebuah cara untuk memperoleh pendapatan. NFT mengangkat karya artis digital dengan penjualan karya di platform pasaran yang disediakan dan pada masa yang sama, artis digital juga akan mendapat royalti setiap kali karya mereka dijual kepada pemilik yang baru.

Antara sebab kenapa NFT mempunyai nilai yang tinggi adalah kerana ianya mempunyai element of scarcity yang bermaksud terhad. Dengan adanya pembuktian siapakah pemilik sebenar setiap karya, pemilik sebenar kepada karya asli dapat diketahui. Semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu karya, semakin tinggi harganya.

Cara pembelian NFT

 

Cara-cara pembelian NFT adalah melalui langkah-langkah yang berikut:

1. Pemilihan pasaran digital NFT

 

Langkah pertama adalah anda harus ke platform pasaran digital yang menjual NFT seperti Opensea, Rarible atau mana-mana pasaran NFT yang lain. Malaysia juga mempunyai pasaran NFT tempatan tersendiri, iaitu Pentas.io.

2. Muat turun dompet digital

 

Langkah kedua adalah anda perlu mempunyai dompet digital seperti Metamask. Kebanyakan pasaran menggunakan Ethereum sebagai matawang di dalam platform mereka, namun, terdapat juga pasaran yang menggunakan matawang kripto yang berbeza, yakni bergantung pada blockchain yang disandarkan oleh platform tersebut.

3. Mengisi dompet digital dengan matawang kripto

 

Anda perlu mempunyai matawang kripto di dalam dompet digital anda. Contohnya, jika anda ingin membeli NFT di Opensea anda perlu mempunyai ETH, manakala di Pentas.io pula anda perlu menggunakan BNB untuk setiap transaksi. Matawang kripto ini boleh dibeli di cryptocurrency exchange seperti Luno dan Binance. Kemudian, anda harus menghantarkan matawang kripto tersebut ke dalam dompet digital anda.

Setelah kesemua langkah di atas diselesaikan, anda boleh memulakan pembelian. NFT dijual menggunakan konsep bidaan. Ia akan dijual kepada pembida tertinggi. Ada juga pilihan untuk membelinya terus pada harga yang telah ditetapkan.

NFT kini masih berada di dalam fasa permulaan. Peluang untuk ia berkembang masih kelihatan luas. Antara contoh lain di mana aplikasi NFT sedang meningkat naik adalah dalam bidang permainan di mana pemain juga boleh meraih keuntungan dengan bermain. Bagaimana caranya? Kita bincangkan dalam artikel yang seterusnya.