2021-09-22

Masa Depan Blockchain dalam Menyelesaikan Masalah Industri


Sebut sahaja blockchain, pasti ia akan dikaitkan dengan mata wang kripto. Sedangkan mata wang kripto hanyalah salah satu daripada aplikasi teknologi blockchain. Terdapat banyak lagi aplikasi blockchain dalam industri lain.

Sesetengah pihak berpendapat teknologi blockchain bakal merubah dunia seperti mana internet merubah kehidupan seharian kita. Mari kita lihat aplikasi lain bagi teknologi blockchain.

Industri kiriman wang

 

Berdasarkan data tahun 2019, industri pengiriman wang mencecah USD 556 bilion setahun. Secara purata kos pengiriman wang antarabangsa adalah sekitar 7%. Jika anda mengirim RM 100,000 ke luar negara, anda perlu bayar sehingga RM 7,000 sebagai caj pengiriman. Lebih tinggi nilai kiriman wang, lebih tinggi caj yang dikenakan. Berbeza dengan Bitcoin, kosnya pula tidak lebih daripada USD 3 bagi setiap transaksi.

Selain itu tempoh penghantaran juga mampu dipercepatkan dengan blockchain. Pengiriman tradisional memerlukan pihak ketiga untuk mengesahkan transaksi yang mana melambatkan proses pengiriman.

kiriman wang
 

Industri kad kredit

 

Antara masalah terbesar dalam industri kad kredit adalah kes penipuan. Jumlah kerugian daripada kes penipuan pada tahun 2019 adalah USD 28.65 bilion. Justeru itu, dengan blockchain perkara ini boleh dielakkan kerana teknologi ini tidak boleh digodam. Ia memerlukan pengesahan di pelbagai peringkat dan setiap transaksi akan direkod.

industri kad kredit
 

Industri Halal

 

Dengan 2 bilion penganut agama Islam yang ada di dunia pada hari ini, permintaan bagi pengesahan halal dalam makanan, produk kosmetik, ubat-ubatan serta barangan harian adalah sangat tinggi. Ciri-ciri dalam teknologi blockchain yang telus dan boleh dikesan di setiap peringkat sangat berguna bagi penyediaan data dalam rantaian bekalan produk halal.

Contohnya, jika anda membeli ayam goreng beku, anda mampu menyemak semula siapakah pembekal, pengedar, kilang mana yang memprosesnya sehinggalah kepada siapa penternak ayam tersebut.

Setiap satu pihak yang terlibat dalam rangkaian bekalan mampu disemak dengan adanya teknologi blockchain. Data ini tidak boleh diubah sesuka hati oleh mana-mana pihak.

Industri Kesihatan

 

Industri kesihatan banyak bergantung kepada data seperti maklumat pesakit, umur, jantina, rekod kesihatan lampau dan senarai alahan. Di dalam blockchain, kunci diperlukan bagi membaca data. Jadi pesakit tidak perlu risau dengan masalah pencerobohan data peribadi.

industri kesihatan
 

Selain itu, data-data daripada alat seperti pengesan degupan jantung boleh dihubungkan terus dengan blockchain. Oleh kerana tiada siapa boleh merubah rekod lampau di dalam blockchain, akan kurang berlaku kesalahan data apabila data dipindahkan dari satu hospital ke hospital yang lain.

Kesimpulan

 

Seperti mana teknologi baru yang lain, fasa awal mata wang kripto dan blockchain ini juga mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak. Contohnya, institusi perbankan secara amnya berasa terancam dengan kehadiran mata wang kripto yang dilihat akan menganggu sumber pendapatan mereka.

Ketika Apple mahu menghasilkan komputer peribadi bagi kegunaan di rumah, ramai pihak mentertawakan idea gila oleh Steve Job, tetapi hari ini komputer sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita semua.

Begitu juga dengan blockchain. White paper Bitcoin ditulis 13 tahun yang lalu, namun, baru hari ini ia mula dikenali ramai. Blockchain masih lagi di fasa permulaan, dan dijangka akan muncul lebih banyak aplikasinya dalam kehidupan kita di masa akan datang.