2022-01-13

Memahami Pemulihan Keluk-K


Kebanyakan industri telah terjejas akibat pandemik COVID-19. Namun, semenjak beberapa bulan yang lalu, ekonomi dunia kelihatan sudah kembali mengukuh. Indeks S&P500 kini adalah lebih tinggi dari sebelum pandemik COVID-19 melanda walaupun setelah mengalami kejatuhan yang teruk pada Mac 2020.

Indeks S&P500
Indeks S&P500 yang jatuh merundum pada Mac 2020 kini sudah mencecah paras tertinggi. Gambar: Investing.com

Sewaktu kemelesetan ekonomi, salah satu cara untuk pakar ekonomi menganalisa masa hadapan kewangan adalah dengan menggunakan bentuk pemulihan yang melengkung mengikut abjad seperti keluk-K, keluk-U dan keluk-V.

Memahami pemulihan Keluk-K

 

Pemulihan keluk-K adalah sebuah senario yang biasanya berlaku selepas kemelesetan ekonomi di mana berlainan ekonomi pulih pada kadar, masa dan magnitud yang berbeza. Situasi ini dinamakan keluk-K kerana terdapat sektor yang melakukan kenaikan, manakala terdapat juga sektor yang terus membuat penurunan. Jika digambarkan, penumbuhan ekonomi ini membuat pembentukan seperti huruf roman 'K', justeru namanya.

Pemulihan keluk-K. Gambar: Investopedia

Pemulihan keluk-K membawa kepada perubahan dalam struktur ekonomi yang lebih meluas akibat hasil dan hubungan ekonomi telah berubah sebelum dan selepas kemelesetan ekonomi.

Berbanding dengan bentuk pemulihan yang lain, pemulihan keluk-K menimbulkan masa hadapan ekonomi yang membimbangkan dan tidak sekata. Dengan erti kata lain, pemulihan keluk-K menjadikan ketidaksamarataan ekonomi menjadi bertambah buruk.

Pemulihan keluk-K disebabkan COVID-19

 

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan keretakan ekonomi yang jelas, oleh itu, tidak mustahil lah kenapa pemulihan keluk-K sering menjadi perbualan akhir-akhir ini.

Hal ini dapat dilihat dengan pemulihan ekonomi pada masa ini, di mana terdapat industri yang mengalami pemulihan seperti teknologi, manakala terdapat juga industri yang masih memerlukan bantuan seperti industri pelancongan.

Illustrasi pemulihan keluk-K di kalangan masyarakat

Di kalangan masyarakat pula, ramai dari yang berpendapatan rendah masih lagi berusaha untuk melangsungkan kehidupan, manakala mereka yang berpendapatan tinggi pula tidak terjejas dan ada juga yang bertambah pendapatannya.

Perbezaan dengan bentuk pemulihan lain

 

Terdapat beberapa perbezaan di antara pemulihan keluk-K berbanding keluk yang lain. Perbezaannya disenaraikan seperti di bawah:

1. Pemulihan keluk-V

 

Penurunan ekonomi secara mendadak, diikuti dengan kenaikan pantas. Masa sewaktu titik terendah adalah sangat singkat kerana ekonomi berjaya pulih secepat mungkin.

Penumbuhan ekonomi ini membuat pembentukan seperti huruf 'V'

2. Pemulihan keluk-U

 

Penurunan yang curam ke bawah dan memakan masa yang lama sewaktu berada di titik terendah ekonomi, dan akhirnya kembali melakukan kenaikan.

Penumbuhan ekonomi ini membuat pembentukan seperti huruf 'U'

3. Pemulihan keluk-W

 

Apabila ekonomi mengalami penurunan yang mendadak, diikuti dengan kenaikan sementara dan turun kembali sebelum membuat kenaikan semula.

Penumbuhan ekonomi ini membuat pembentukan seperti huruf 'W'

4. Pemulihan keluk-L

 

Senario di mana ekonomi mengalami penurunan yang mendadak dan mengambil masa yang sangat panjang untuk berlaku pemulihan.

Penumbuhan ekonomi ini membuat pembentukan seperti huruf 'L'

Impak jangka panjang

 

Pemulihan keluk-K adalah pemulihan selepas kemelesetan ekonomi di mana hanya sesetengah sektor ekonomi sahaja yang akan pulih manakala sektor yang lain masih ketinggalan. Justeru itu, pemulihan keluk-K ini akan memberi kesan jangka panjang terhadap ekonomi iaitu dari segi pengangguran, peningkatan jurang kekayaan, dan juga peningkatan monopoli dari syarikat-syarikat besar.

Apa yang membimbangkan ialah kesan pemulihan keluk-K ini mungkin akan mengambil masa selama bertahun-tahun dan menyebabkan masalah-masalah berkaitan ekonomi yang sedia ada di negara ini menjadi lebih buruk.

Penutup

 

Prestasi ekonomi bagi setiap sektor adalah berbeza-beza, namun, sedikit sebanyak ia masih berkait antara satu sama lain. Apa yang membezakan pemulihan keluk-K dengan yang lain adalah ketidaksamarataan prestasi antara sektor selepas berlakunya kemelesetan ekonomi.

Jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara dalam sesebuah negara. Hal ini dapat dilihat apabila ekonomi berada di fasa pemulihan selepas pandemik COVID-19, golongan yang kaya akan menjadi semakin kaya, manakala yang bergaji rendah akan terjejas disebabkan pemotongan gaji dan kehilangan pekerjaan.

Rujukan

 

1. Investopedia