2021-09-22

Membedah Blockchain dengan Bahasa Mudah


Perkataan kripto bukan lagi perkataan yang asing pada masa kini. Semakin hari, semakin ramai yang terlibat dalam dunia mata wang kripto. Kripto dibina menggunakan teknologi blockchain. Tetapi anda tahu tak apakah yang dimaksudkan dengan teknologi blockchain dan bagaimana ia berfungsi?

Jangan bimbang, anda tidak perlu tahu pengaturcaraan (coding) atau ilmu sains komputer yang mendalam untuk memahaminya.

Membedah blockchain dalam bahasa mudah

 

Maksud blockchain

 

Blockchain adalah satu teknologi yang mencipta sebuah rekod (catatan) yang tidak boleh diubah. Ia ibarat sebuah buku di mana anda boleh menulis dalam buku tersebut secara pseudonymous (nama samaran). Buku ini boleh diedarkan kepada sesiapa, tetapi tiada siapa boleh merubah kandungan buku secara kebelakang. Hanya boleh ditambah ke hadapan sahaja.

Blockchain dibina di atas dua tiang asas iaitu kriptografi dan mekanisme konsensus (consensus mechanism). Kriptografi penting bagi memastikan rekod dalam blockchain selamat dan bersifat rahsia (private). Manakala mekanisme konsensus adalah polisi yang membolehkan persetujuan pemilihan data untuk dimasukkan ke dalam rekod.

Maksud kriptografi

 

Kriptografi adalah teknik yang membolehkan komunikasi dijalankan dengan selamat dan secara rahsia. Ia dibina menggunakan formula matematik yang kompleks.

Komunikasi itu boleh dikatakan selamat jika:

  • Tiada siapa boleh dengar atau baca apa perbualan dalam komunikasi tersebut
  • Tiada siapa boleh ubah mesej yang dihantar dalam blockchain

Teknik kriptografi yang digunakan adalah:

  • Tandatangan digital (Digital Signature)
  • Fungsi hash (Hash Function)
  • Merkle trees
  • Cap waktu (Timestamps)

Tandatangan digital

 

Tandatangan digital adalah kaedah mengesahkan kesahihan data yang dihantar bagi mengenal pasti siapakah penghantar mesej tersebut. Ia ibarat cap mohor atau cap syarikat yang digunakan untuk mengesahkan surat rasmi dalam dunia fizikal.

Ada dua kunci yang digunakan untuk mengesahkan tandatangan digital iaitu kunci awam dan kunci peribadi. Kunci peribadi disimpan oleh penghantar mesej manakala kunci awam digunakan orang lain bagi mengesahkan kesahihan tandatangan.

Fungsi hash

 

Fungsi hash adalah kaedah yang digunakan untuk menukar satu input kepada satu rantaian karakter atau data binari. Ia sama seperti apabila anda mengambil gambar untuk menggambarkan realiti.

Ciri terpenting fungsi hash adalah anda tidak boleh meneka apakah input daripada output yang dihasilkan.

Merkle Tree

 

Merkle tree adalah susunan data secara hierarki. Data ini datang daripada fungsi hash. Ia digunakan bagi mengesahkan kesahihan data datang daripada mana.

Markle Tree

Sumber: Brilliant.org

 

Cap Masa (Timestamp)

 

Dalam blockchain, istilah cap masa digunakan untuk menandakan bilakah transaksi berlaku.

Mekanisme konsensus (consensus mechanism)

 

Mekanisme konsensus ialah mekanisme bagi memastikan data yang dimasukkan ke dalam rekod blockchain tersusun, tepat dan telus.

Contohnya, dalam Bitcoin, mekanisme ini dibina menggunakan 4 tiang asas iaitu Proof of Work (PoW), sumber terhad (scarcity) dan struktur insentif (insentive structure).

Proof of Work (PoW)

 

Jika anda ingin memasukkan data ke dalam blockchain, anda perlu sertakan bukti bahawa anda telah berjaya melaksanakan atau menyelesaikan cabaran yang telah ditetapkan. Bukti ini agak mencabar untuk dihasilkan tetapi mudah disahkan.

Contohnya, anda perlu meneka kombinasi kunci keselamatan dengan kombinasi 4 nombor. Ia cabaran yang sukar, tetapi mudah disahkan. Masukkan kombinasi 4 nombor dan jika kunci berjaya dibuka bermakna anda sudah membuktikan anda berjaya menyelesaikan cabaran tersebut.

Oleh kerana itu, anda perlukan komputer berkuasa tinggi jika ingin melombong (mining) Bitcoin. Komputer ini digunakan untuk menyelesaikan masalah matematik kompleks.

Sumber terhad (scarcity)

 

Nilai sesuatu perkara ditentukan berdasarkan bekalan dan permintaan. Lebih rendah bekalan, lebih tinggi nilai sesuatu barang tersebut. Sifat Bitcoin adalah sama seperti emas, iaitu kedua-duanya mempunyai jumlah yang terhad.

Hanya 21 juta Bitcoin sahaja yang ada di seluruh dunia.

Struktur insentif

 

Jika ada sesiapa yang cuba menghancurkan rangkaian Bitcoin atau ada pelombong (miner) yang cuba memanipulasi Bitcoin, nilai Bitcoin mereka akan hilang. Justeru itu, semua yang terlibat dalam ekosistem Bitcoin akan berusaha memelihara ekosistem.

Ringkasan

 

Sekarang anda sudah faham elemen dan konsep yang digunakan disebalik teknologi blockchain. Mari kita gabungkan kesemuanya.

Bagaimana blockchain berfungsi:

  1. Anda mempunyai kata kunci sendiri (kunci peribadi dan kunci awam).
  2. Transaksi direkod dengan timestamp.
  3. Setiap transaksi diletakkan dalam rangkaian yang boleh dilihat semua orang.
  4. Transaksi dikumpulkan membentuk sebuah blok.
  5. Blok ini perlu disahkan menggunakan Proof of Work.
  6. Jika blok ini sahih, ia akan dihubungkan kepada blok yang lain membentuk satu rantaian blok (blockchain).
  7. Rantaian blok ini akan ditukar kepada bentuk hash dan kemudian dihubungkan ke dalam Merkle tree.
  8. Blok ini akhirnya diletakkan ke dalam rangkaian blockchain yang ada pada hari ini.

Dalam bahasa mudah, blockchain adalah satu rantaian blok yang telah disahkan dan ia boleh disemak semula kepada pembina asalnya melalui Merkle tree.