2021-11-19

My Neighbor Alice: Permainan Pembina Berbilang Pemain


My Neighbor Alice merupakan multiplayer builder-game di mana pemain membeli tanah maya, berinteraksi dengan jiran, melakukan aktiviti harian dan memperoleh ganjaran. Permainan ini mirip dengan permainan Animal Crossing dari segi reka bentuknya yang unik dan mempunyai elemen kewangan terdesentralisasi (DeFi).

Pemain boleh merekacipta dan menghias tanah mereka dengan barang NFT yang terdapat di dalam permainan. Barang NFT ini adalah seperti tanaman, pokok, bunga, bangunan, haiwan dan lain-lain lagi. Pada masa yang sama, pemain juga dapat memanfaatkan peralatan in-game seperti NFT Creator dan Game Builder untuk mencipta barang NFT yang unik dan mencipta pengalaman permainan yang diinginkan.

Gambar: My Neighbor Alice

My Neighbor Alice juga mempunyai in-game marketplace di mana pemain boleh membeli dan menjual pelbagai jenis barang, NFT dan avatar yang membolehkan pemain memperibadikan watak permainan mereka. Terdapat juga forum yang membenarkan pemain bertemu di antara satu sama lain dan sistem reputasi untuk meningkat taraf status pemain untuk mendapatkan akses ke acara eksklusif dan NFT.

Gambar: My Neighbor Alice

Gameplay

 

Seperti permainan builder yang lain, My Neighbor Alice mempunyai format dunia terbuka yang membolehkan pemain mengembara ke pelbagai pulau untuk berinteraksi dengan pemain lain dan penduduk tempatan yang berfungsi sebagai non-player character (NPC) dalam permainan. Pemain menavigasi dunia Alice menggunakan avatar mereka yang boleh disesuaikan mengikut citarasa pemain.

Dalam permainan ini, Alice merupakan penjaga kepulauan Lummelunda. Di kepulauan ini, terdapat enam jenis pulau maya iaitu Snowflake Island, Medieval Plains, Nature’s Rest, Lummestad (The Town), Sandy Coast dan Submerged Islands. Pulau-pulau ini dibahagikan kepada bidang-bidang tanah yang kebanyakannya akan dimiliki oleh pemain. Sebidang tanah ini masing-masing diwakili oleh NFT unik yang dapat dijual atau diperdagangkan oleh pemiliknya.

Gambar: Medium

Buat masa ini, permainan My Neighbor Alice masih berada di peringkat awal dan permainan ini dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan. Berdasarkan pengumuman pada 19 Ogos lalu, pemain berpeluang untuk bermain dan menguji permainan dalam versi pra-alfa. Dalam versi ini, pemain akan dapat bertemu dengan NPC dan berjumpa serta berbual dengan pemain yang lain. Versi pra-alfa ini telah berlangsung daripada 31 Ogos hingga 30 September. Pemain boleh merasai permainan versi ini dengan hanya mendeposit 1 ALICE dan mempunyai akaun Steam.

Gambar: Medium

Apa itu ALICE?

 

ALICE merupakan mata wang asli di dalam permainan My Neighbor Alice. Dalam permainan ini, token ALICE boleh digunakan sebagai:

  1. Mata wang dalam permainan: ALICE digunakan dalam marketplace untuk membeli aset, barang dan kemahiran khas
  2. Model pendapatan yang dirancang: Pemilik tanah boleh mengenakan bayaran dalam bentuk token ALICE kepada pemain yang mengunjung atau menyewa tanah tersebut.
  3. Kandungan permainan khas: Sesetengah quests dan ciri khas seperti membuka kedai hanya tersedia kepada pemegang token ALICE yang mempertaruhkan token tersebut dalam jangka masa yang telah ditetapkan.
  4. Ciri sosial: Menghantar token ALICE kepada jiran melalui ruang sembang, menukar aset NFT dan mempersembahkan aset kepada pelawat.
  5. Play-to-earn: Memperoleh token ALICE setelah pemain menyelesaikan quests.
Gambar: Medium

Bagaimana pemain ingin memiliki tanah?

 

Buat masa ini, pengguna yang ingin memiliki tanah boleh menyertai penjualan tanah yang diadakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan. Setakat ini, penjualan tanah telah diadakan sebanyak dua kali iaitu pada bulan Mei dan Julai yang lalu dan diadakan selama dua minggu. Sebanyak 1,927 tanah telah berjaya dijual. Berdasarkan pengumuman terkini, penjualan tanah kali ketiga bakal diadakan pada bulan September.

Antara syarat-syarat untuk menyertai penjualan tanah adalah:

  1. Pengguna mestilah mempunyai akaun Metamask dan sekiranya belum ada, pengguna mestilah membuka akaun tersebut terlebih dahulu.
  2. Kemudian, pengguna mestilah memilih jaringan Binance Smart Chain (BSC) di dalam Metamask.
  3. Pengguna mestilah mendeposit sejumlah token ALICE untuk mendaftar alamat pengguna. Sebagai contoh, penjualan tanah kali kedua memerlukan pemain mendeposit 50 ALICE.
  4. Sekiranya pengguna terpilih untuk memiliki plot tanah, jumlah deposit tadi akan dikira sebagai bayaran kepada plot tanah tersebut. Sekiranya tidak, pengguna boleh membiarkan token ini untuk penjualan tanah seterusnya atau mengeluarkannya.
  5. Proses staking untuk tiket akan bermula mengikut tarikh yang ditetapkan. Sebagai contoh, 50 ALICE akan menghasilkan 50 tiket setiap hari. Secara teori, pengguna boleh memenangi sebidang tanah hanya dengan mendeposit 50 ALICE. Walau bagaimanapun, pengguna yang mendeposit ALICE atau CHR (token asli rangkaian Chromia)tambahan akan mendapat peluang yang lebih tinggi untuk dipilih.
  6. Bagi pengguna yang mendeposit ALICE, mereka akan menerima 1 tiket tambahan bagi setiap 1 ALICE yang dipertaruhkan setiap hari. Token ALICE dipertaruhkan secara langsung di papan penjualan tanah.
  7. Bagi pengguna yang turut mendeposit CHR, pengguna akan menerima 1 tiket tambahan bagi setiap 20 CHR yang dipertaruhkan setiap hari. Token CHR dipertaruhkan melalui portal Chromia.
  8. Pada hari terakhir tempoh staking, semua tiket yang diterima akan dikira. Alamat pengguna hanya boleh dipilih sekali dan setelah pengguna tersebut dipilih, baki tiket mereka akan dikeluarkan.
  9. Bagi pengguna yang tidak terpilih atau tidak berjaya dalam penyertaan ini, mereka boleh membiarkan sahaja token ALICE untuk penjualan tanah yang seterusnya atau mengeluarkan token tersebut.
Gambar: Medium

Play-to-earn dalam My Neighbor Alice

 

Selain menyelesaikan tasks dan quests, pemain juga boleh memperoleh ALICE melalui in-game events seperti pertandingan.

Pemain (pemilik tanah) juga boleh memperoleh ALICE melalui bayaran yang dikenakan terhadap pemain yang ingin menyewa tanah mereka dan pemain lain yang mengunjung tanah mereka. Selain itu, pemain juga boleh mencipta aset mereka sendiri menggunakan peralatan yang disediakan dan kemudianya menjual aset tersebut dalam in-game marketplace.

Rumusan

 

Kesimpulannya, permainan My Neighbor Alice adalah permainan free-to-play di mana semua pemain boleh menjual beli, berinteraksi sesama lain, dan melakukan aktiviti harian sambil memperoleh ganjaran. Bagi pemain yang ingin merasai pengalaman permainan yang lagi menarik, pemain boleh membeli tanah maya dan mengusahakannya dengan barang dan aset yang boleh dibeli dalam in-game marketplace.

Rujukan

 
  1. My Neighbor Alice
  2. Medium