2021-10-05

Teknologi Blok Rantai


Blok Rantai? Blockchain? Macam pernah dengar kan?

Biasanya teknologi blok rantai sering dikaitkan dengan mata wang kripto dan Bitcoin. Namun, tahukah anda, teknologi blok rantai mempunyai aplikasi yang lebih luas dari Bitcoin dan mata wang kripto.

Dalam artikel ini, kita akan lihat pada teknologi blok rantai dari perspektif mata wang kripto. Artikel ini dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu bahagian blok, rantai dan mata wang kripto.

Blok

Bahagian pertama dalam teknologi blok rantai ialah perkataan pertama dalam blok rantai, iaitu blok. Apa yang dimaksudkan dengan blok ini? Adakah ia bermaksud blok segi empat yang kita bayangkan?

Dalam situasi harian, apabila kita membeli sesuatu barang, kita akan mendapat resit pembelian yang menyimpan maklumat berkenaan transaksi yang berlaku antara kita dan penjual. Sekiranya berlaku ketidakpuasan hati antara mana-mana pihak, resit tersebut boleh dijadikan bukti untuk dirujuk berkenaan transaksi itu.

Dalam transaksi melibatkan mata wang kripto, maklumat transaksi antara pembeli dan penjual tersimpan dalam suatu pangkalan data yang dipanggil sebagai blok. Blok dalam blok rantai bermaksud suatu pangkalan data yang menyimpan segala maklumat transaksi yang berlaku. Oleh itu, jika berlaku ketidakpuasan hati antara mana-mana pihak berkenaan transaksi yang telah berlaku, mereka boleh merujuk kepada blok dalam blok rantai tersebut.

Block

Rantai

Jika disebut rantai, kita akan terfikir perhiasan yang dipakai di leher. Kita mungkin juga terbayang rantai besi di basikal yang membolehkan tayar basikal berputar. Namun, dalam teknologi blok rantai, apa yang dimaksudkan dengan rantai?

Rantai dalam blok rantai merujuk kepada satu hubungan digital antara blok-blok yang wujud. Seperti yang disebutkan di atas, blok merujuk kepada maklumat transaksi yang berlaku. Apabila berlaku banyak transaksi, maka terhasillah banyak blok yang menyimpan maklumat transaksi tersebut. Teknologi blok rantai menghubungkan kesemua blok transaksi itu melalui rantaian digital.

Anda mungkin tertanya, apakah rantaian digital, atau hubungan digital antara blok yang dimaksudkan?

Hubungan digital ini adalah melalui algoritma kriptografi yang menggabungkan maklumat dalam sesuatu blok dengan blok seterusnya. Algoritma kriptografi ini adalah suatu gabungan matematik yang kompleks dan unik, yang sukar dibocorkan oleh manusia atau komputer. Bagi memutuskan rantaian dalam sesuatu blok rantai yang panjang, kita perlukan kuasa pengkomputeran yang sangat tinggi dan tenaga elektrik yang banyak. Oleh sebab blok rantai ini terlalu kukuh, maka hampir kesemua pihak yang terlibat memilih untuk mengukuhkan lagi rantaian yang ada dan bukan memutuskannya. Malah, jika sesuatu pihak mahu memutuskan rantaian blok yang ada, pihak ini perlu menanggung kos yang sangat tinggi dan berkemungkinan akan rugi besar.

Chain

Mata wang Kripto

Kita dah tahu blok, dan kita dah tahu rantai. Seterusnya, bagaimana mata wang kripto menggunakan teknologi blok rantai?

Mata wang yang kita faham ialah suatu medium pertukaran yang membolehkan seseorang menukarkan mata wangnya dengan sesuatu barang atau mata wang lain. Sebagai contoh, RM 4 boleh membeli menu sarapan, dan boleh juga ditukarkan dengan 1 Dollar US. Nilai sesuatu mata wang bergantung kepada bank negara yang mengeluarkan mata wang tersebut.

Bagi mata wang kripto pula, nilainya tidak bergantung kepada mana-mana bank atau pihak tertentu. Kemudian, ia juga tidak digunakan sebagai medium pertukaran secara meluas. Oleh sebab itu, mata wang kripto ini lebih sesuai dianggap sebagai suatu aset digital atau token digital yang bernilai disebabkan teknologi blok rantai yang digunakan. Walaupun ia adalah aset, disebabkan istilah mata wang kripto telah meluas digunakan, maka artikel ini akan terus menggunakan istilah mata wang kripto.

Seterusnya, jika mata wang yang ada hari ini dihasilkan oleh bank negara, dan nilainya ditentukan berdasarkan pasaran mata wang dan ekonomi negara, bagaimana pula dengan mata wang kripto?

Ada pelbagai kaedah penghasilan mata wang kripto, bergantung kepada algoritma yang dihasilkan oleh pengasas mata wang tersebut. Sebagai contoh, Bitcoin dihasilkan melalui perlombongan kriptografi blok rantai. Apabila pelombong berjaya menyelesaikan masalah kriptografi dalam menghasilkan blok, pelombong ini akan mendapat Bitcoin sebagai insentif perlombongan tersebut. Nilai Bitcoin pula bergantung kepada hukum penawaran dan permintaan (law of supply and demand).

 
cryptocurrency

Falsafah Blok Rantai

Jika kita sudah ada sistem yang mengawal setiap urusan seperti perbankan, pilihanraya dan media sosial, mengapa nak mengkaji teknologi blok rantai pula? Apa yang menyebabkan ramai orang beralih ke arah teknologi blok rantai? Mari kita fikirkan.

Sistem kehidupan sosial yang ada sejak bermulanya ketamadunan pertama bergantung kepada pemusatan kuasa kepada seseorang atau sebuah badan yang mengawal sistem kehidupan sosial kita. Dari sudut kewangan, kita bergantung kepada sistem perbankan untuk menjaga dan menguruskan harta benda kita. Dari sudut pemilihan kuasa, kita bergantung kepada suruhanjaya pilihanraya bagi mengira undi kita dengan jujur. Dari sudut media sosial, kita bergantung kepada industri besar seperti Facebook dan Google untuk menjaga data peribadi kita dengan betul. Sistem pemusatan kuasa ini terdedah kepada serangan luaran seperti pencerobohan pangkalan data, mahupun serangan dalaman seperti salah guna kuasa dan rasuah.

Teknologi blok rantai bertujuan untuk memencarkan kuasa ini dan mengembalikan sistem kehidupan sosial kepada semua orang tanpa bergantung kepada satu-satu pusat kuasa. Apabila sistem kehidupan sosial diuruskan oleh semua orang melalui teknologi blok rantai, kehidupan kita akan tetap berjalan seperti hari ini. Perbezaannya, kita tidak lagi bergantung kepada mana-mana badan kuasa tertentu.