2021-10-20

Memahami Bukti Taruhan dan Perbezaannya dengan Bukti Kerja Dilaksanakan


Mekanisme konsensus yang paling popular adalah bukti kerja dilaksanakan. Mekanisme ini digunakan dalam pelbagai rangkaian blok rantai termasuk Bitcoin dan Ethereum. Bukti kerja dilaksanakan telah diketahui sebagai satu mekanisme yang sangat selamat dan mampu mencapai matlamat pemencaran kuasa (decentralization). Namun, mekanisme ini mempunyai banyak kelemahan. Dalam artikel ini, kita akan lihat pada mekanisme konsensus asal iaitu bukti kerja dilaksanakan, kelemahannya dan penyelesaian kelemahan tersebut melalui bukti taruhan.

Masalah dengan bukti kerja dilaksanakan

 

Walaupun telah berjaya memacu teknologi blok rantai dan industri matawang kripto, bitcoin dan aktiviti perlombongannya telah menerima pelbagai kritikan daripada komunitinya sendiri dan keseluruhan komuniti kripto. Bukti kerja dilaksanakan adalah satu mekanisme yang memakan belanja yang besar. Ia memerlukan kuasa pengkomputeran yang tinggi untuk memastikan keberlangsungan blok rantai. Pada masa yang sama, berlaku pembaziran tenaga yang banyak apabila pelombong gagal melombong blok baharu. Oleh yang demikian, bukti kerja dilaksanakan dilihat sebagai satu mekanisme yang tidak lestari untuk jangka masa panjang dan perlu dikaji semula penggunaannya.

Bukti kerja dilaksanakan juga sukar untuk digunakan pada skala besar. Oleh sebab perlombongan setiap blok baharu mengambil masa yang lama, bilangan transaksi sesaat adalah terlalu kecil untuk menampung keperluan kewangan secara global. Sebagai perbandingan, VISA mampu menampung lebih 10 ribu transaksi sesaat manakala bitcoin hanya mampu menampung sekitar 5 transaksi sesaat.

proof of stake

Bukti taruhan

 

Bukti taruhan adalah satu mekanisme konsensus yang dicapai melalui pengesah yang mengesahkan keadaan sesebuah blok berdasarkan jumlah token kripto yang mereka taruhkan ke dalam rangkaian blok rantai. Bukti taruhan telah diperkenalkan bagi menyelesaikan sebahagian isu pada bukti kerja dilaksanakan iaitu masalah penggunaan pada skala besar, dan masalah kelestarian.

Skala

 

Konsensus pada bukti taruhan dicapai melalui para pengesah yang menaruhkan token kripto mereka ke dalam rangkaian. Mekanisme ini berbeza dengan bukti kerja dilaksanakan kerana bagi bukti kerja dilaksanakan, kesemua pelombong perlu menggunakan kuasa pengkomputeran untuk mencapai konsensus, manakala bagi bukti taruhan pula, ia bergantung pada jumlah token kripto yang ditaruhkan pada rangkaian.

Oleh sebab pengesah dipilih sebelum sesuatu blok dirantai pada blok rantai, hal ini mempercepat proses pengesahan transaksi. Oleh yang demikian, mekanisme bukti taruhan mampu menampung lebih banyak transaksi per saat berbanding bukti kerja dilaksanakan. Hal ini dapat meningkatkan potensi untuk digunakan pada skala yang lebih besar.

Kelestarian

 

Bukti kerja dilaksanakan memang diketahui sebagai satu mekanisme yang menggunakan tenaga elektrik yang sangat tinggi bagi melombong blok dalam blok rantai. Tambahan pula, oleh sebab mekanisme ini memerlukan pengiraan yang pantas, terdapat mesin yang dicipta bagi memenuhi tujuan melombong sahaja iaitu mesin ASIC. Bukti taruhan menyelesaikan masalah ini dengan menggantikan kuasa pengkomputeran kepada token kripto. Oleh yang demikian, bukti taruhan tidak lagi memerlukan kuasa pengkomputeran yang banyak, dan para pengesah juga tidak perlu berlumba-lumba menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak. Di samping itu, mesin khusus seperti ASIC tidak lagi diperlukan. Hal ini dapat mengurangkan pembaziran tenaga elektrik.

Serangan ke atas bukti taruhan

 

Dalam bukti kerja dilaksanakan, serangan oleh pelombong khianat dapat dilakukan jika pelombong tersebut mengawal majoriti kuasa pengkomputeran yang ada. Serangan ini dikenali sebagai serangan 51 peratus. Serangan seperti ini sangat sukar dan mahal kerana pelombong khianat perlu menguasai jumlah tenaga elektrik serta kuasa pengkomputeran yang sangat banyak.

Dalam bukti taruhan pula, oleh sebab pengesahan blok memerlukan pengesah untuk menaruhkan token kripto mereka pada rangkaian, penyerang perlu menaruhkan sekurang-kurangnya 51 peratus token bagi mengubah sesuatu blok. Penguasaan 51 peratus token kripto adalah suatu perkara yang sukar dilaksanakan. Malah, bukti taruhan menjadikan serangan ke atasnya sebagai satu tindakan yang sentiasa merugikan. Jika penyerang berjaya menguasai 51 peratus token kripto, dan menyerang rangkaian, hal ini akan menyebabkan pengesah-pengesah lain meninggalkan token tersebut seterusnya menyebabkan nilai token itu jatuh. Manakala jika penyerang gagal dalam serangan, dia akan kehilangan token-token yang telah ditaruhkan dalam rangkaian. Oleh yang demikian, pengesah-pengesah mendapat lebih banyak manfaat jika mereka mengekalkan integriti rangkaian berbanding menyerangnya.

Serangan bukti taruhan