2021-11-02

The Sandbox: Bermain Sambil Menjana Pendapatan di Dunia Metaverse


The Sandbox merupakan dunia maya di mana pemain dapat membina, memiliki dan menjana pendapatan melalui pengalaman permainan di blockchain Ethereum. The Sandbox terkenal dengan permainan versi mudah alih, iaitu The Sandbox (2011) dan The Sandbox Evolution (2016), yang menghasilkan 40 juta muat turun di iOS dan Android. Pada tahun 2018, pemaju permainan ini membuat keputusan untuk membawa intellectual property (IP) permainan ini daripada versi mudah alih kepada ekosistem blockchain.

Matlamat permainan ini adalah untuk mengganggu permainan seperti Minecraft dan Roblox iaitu pemain boleh mencipta pemilikan melalui ciptaan dalam bentuk NFT dan mendapat ganjaran dalam bentuk token SAND. Pada Ogos 2021, The Sandbox merupakan permainan berasaskan Ethereum nombor empat berdasarkan pasaran modal kira-kira USD 880 juta.

Sumber gambar: Medium

Token Permainan

 

Terdapat tiga jenis token yang digunakan di dalam permainan ini iaitu:

1. SAND

 

SAND merupakan token ERC-20 yang digunakan sebagai asas kepada transaksi dalam permainan The Sandbox.

2. LAND

 

LAND adalah token ERC-721 yang merujuk kepada bidang tanah digital yang terdapat di dalam permainan The Sandbox. Pemain membeli LAND untuk memajukannya dengan mencipta permainan, aset, pengalaman interaktif dan mengisi dengan ASSET.

Sebanyak 166,464 LAND yang disediakan. LAND mempunyai saiz 1x1 iaitu 96m x 96m x 128m. Dalam permainan ini, 1 meter adalah bersamaan voxel 32x32x32. LAND boleh diakses melalui peta maya di laman web rasmi The Sandbox. Kedudukan LAND yang berhampiran dengan rakan besar The Sandbox akan memainkan peranan dalam permainan, bilangan pengunjung, ekonomi dan permainan yang dibina di atas LAND tersebut.

3. ASSET

 

ASSET adalah token ERC-1155 yang dicipta oleh pemain yang membina dan mencipta user generated content (UGC) di atas LAND. ASSET berfungsi sebagai elemen penciptaan di dalam perisian The Sandbox Game Maker.

GEM

 

ASSET mempunyai atribut yang menentukan statistik ASSET. Atribut ini ditentukan oleh GEM yang merupakan token ERC-20. Satu GEM boleh memberikan sehingga 25 atribut kepada ASSET dan pemain boleh memasukkan sehingga 4 GEM dengan bantuan CATALYST.

GEM boleh diperoleh sebagai ganjaran apabila pemain mempertaruhkan SAND atas LAND. Sebagai alternatif, pemain boleh membeli GEM di marketplace. Terdapat lima jenis GEM iaitu Power Gem, Defense Gem, Speed Gem, Magic Gem dan Luck Gem.

CATALYST

 

CATALYST ialah token ERC-20 yang menentukan tier dan bilangan ASSET pemain. CATALYST menambah soket kosong ke dalam NFT pemain yang boleh diisi dengan GEM. Semakin tinggi kualiti CATALYST, semakin banyak soket yang ada pada ASSET. CATALYST mempunyai empat jenis tier yang berbeza.

Tier CATALYST Bilangan Soket GEM Bilangan Atribut Bilangan salinan ASSET
Common 1 Sehingga 25 Sehingga 20,000
Rare 2 Sehingga 50 Sehingga 4,000
Epic 3 Sehingga 75 Sehingga 1,500
Legendary 4 Sehingga 100 Sehingga 200

 

Gambar di bawah menunjukkan CATALYST Epic yang boleh memuatkan tiga GEM.

Sumber: The Sandbox

Bagaimana cara bermain The Sandbox?

 

Membuka akaun

 

Untuk membuka akaun dalam The Sandbox, pemain perlu mempunyai salah satu dompet ini: Metamask, Bitski atau Venly. Selepas pemain mendaftar dengan mana-mana dompet ini, pemain perlu log masuk dengan pilihan dompet masing-masing. Selepas itu, pemain perlu mengisi alamat emel dan nama pengguna, kemudian pemain boleh membuka akaun.

Sumber gambar: The Sandbox

Membeli LAND

 

Buat masa ini, pemain yang ingin mengakses permainan di dalam The Sandbox perlu membeli LAND menggunakan token SAND dan menyediakan sejumlah ETH sebagai cas gas. Terdapat dua cara pembelian LAND iaitu pemain boleh membeli LAND menerusi jualan umum yang diadakan di laman web rasmi The Sandbox mengikut tarikh yang ditetapkan. Melalui jualan umum, pemain boleh membeli LAND dengan harga diskaun. Sebagai contoh, jualan The Walking Dead Land telah bermula pada 26 Ogos yang lalu (rujuk gambar di bawah).

Sumber gambar: The Sandbox

Cara yang lain adalah pemain boleh membeli LAND terpakai di pasaran terbuka iaitu OpenSea atau Rarible. Harga LAND di sini mungkin sedikit mahal berbanding harga LAND dalam jualan umum.

Sumber gambar: OpenSea

Terdapat dua jenis LAND yang boleh dibeli oleh pemain, iaitu LAND biasa dan LAND premium.

LAND premium
 

LAND premium mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding LAND biasa. Antara kelebihannya adalah:

  1. LAND premium dikelilingi oleh LAND yang dibeli oleh rakan kongsi utama The Sandbox. Ini menjadikan LAND premium di kawasan ini akan mengalami trafik yang tinggi dan mempunyai peluang yang tinggi untuk dikunjungi oleh pemain-pemain lain. Disebabkan trafik yang tinggi, pemilik LAND premium boleh menjana pendapatan, sebagai contoh melalui permainan berbayar yang dikenakan kepada pemain-pemain lain yang ingin bermain permainan tersebut.
  2. Trafik yang tinggi juga membuka peluang kepada pemilik untuk menjana pendapatan daripada aktiviti sewa seperti menyediakan ruang papan iklan di LAND mereka kepada pemain-pemain lain.
  3. Kedudukan LAND premium yang strategik menyebabkan pemilik melakukan aktiviti pemasaran yang kerap untuk menarik pengunjung berbanding LAND biasa.
  4. LAND premium yang dijual biasanya akan mempunyai ASSET yang eksklusif dan terhad. Dari masa ke masa, ASSET ini akan diminati oleh pengunjung dan pereka permainan disebabkan bilangan ASSET yang terhad dan rare.

Membeli atau membentuk ESTATE

 

Pemain juga boleh membeli ESTATE atau membentuk ESTATE dengan menggabungkan sekurang-kurangnya dua LAND yang bersebelahan. Biasanya, ESTATE mempunyai saiz 3x3, 6x6, 12x12 dan 24x24.

Jenis ESTATE Saiz ESTATE LAND bagi setiap parcel
Kecil 3x3 9
Sederhana 6x6 36
Besar 12x12 144
Sangat besar 24x24 576

 

DISTRICT

 

DISTRICT merupakan jenis ESTATE khas yang dimiliki oleh dua orang atau lebih. Antara syarat untuk membentuk sebuah DISTRICT adalah:

  1. ESTATE mesti berdekatan antara satu sama lain
  2. Setiap DISTRICT mesti mempunyai minimum dua pemilik
  3. Setiap pemilik perlu mempertaruhkan sejumlah $SAND
  4. Kelulusan DISTRICT akan diserahkan kepada undian

Menyewa LAND

 

Pada masa akan datang, pemilik LAND boleh menyewakan LAND yang dimiliki kepada pencipta permainan atau pemain lain (penyewa). Penyewa juga boleh membina bangunan, mencipta permainan atau content di atas LAND yang disewakan. Pemberi sewa atau pemilik LAND diberi hak untuk memutuskan harga sewa berdasarkan faktor saiz dan kedudukan LAND.

Apa yang boleh dibuat dengan LAND?

 

Selepas pemain membeli LAND, pemain (pemilik LAND) boleh:

1. Bermain dan mencipta permainan
 

Pemain diberi kebebasan untuk mencipta sebarang bangunan, permainan atau aktiviti mengikut kreativiti pemain tersendiri dan mengisi LAND dengan ASSET.

2. Memperoleh token SAND
 

Pemain boleh dalam pengalaman permainan melalui pelbagai cara mengenakan cas dalam berbentuk token SAND kepada pemain lain apabila mereka mengunjungi LAND yang dimiliki, bermain permainan yang disediakan di atas LAND atau menjual LAND selepas pemilik merasakan LAND tersebut berpotensi untuk menghasilkan keuntungan.

3. Mengendalikan pertandingan dan events
 

Pemain juga boleh mengadakan pertandingan dan events di atas LAND untuk menarik perhatian daripada pemain-pemain lain agar mereka boleh mengunjungi dan menyertai pertandingan yang diadakan. Melalui pertandingan ini, pemain boleh mengenakan cas dalam bentuk token SAND terhadap peserta dan menyediakan ganjaran dalam bentuk NFT atau sebagainya.

Bagaimana pemain boleh mencipta permainan di atas LAND?

 
1. Perisian Game Maker
 

Pemain boleh mencipta sebuah permainan di atas LAND dengan memuat turun dan menggunakan perisian Game Maker secara percuma. Perisian Game Maker merupakan perisian yang membenarkan pemain untuk merekacipta, menguji dan berkongsi pengalaman seperti permainan. Perisian ini sesuai digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk pemain yang kurang atau tidak mempunyai pengalaman dalam merekacipta permainan.

Pemain boleh melihat tutorial yang disediakan dalam pautan Sandbox Tutorial ini. Pemain yang memiliki tanah boleh menerbitkan permainan yang direkacipta ke atas LAND. Gambar di bawah menunjukkan salah satu template yang terdapat dalam perisian Game Maker.

Sumber gambar: Medium

Selain itu, dalam perisian Game Maker, terdapat ASSET asas yang membolehkan pemain untuk menerbitkannya di dalam permainan tanpa mencipta ASSET baharu.

2. VoxEdit
 

VoxEdit merupakan perisian penyuntingan voxel percuma yang membolehkan artis seni, pencipta atau pemain mencipta ASSET voxel seperti manusia, haiwan, kenderaan, barang dan lain-lain lagi. ASSET yang dibina boleh dijual di marketplace iaitu dengan mengeksport ASSET dari VoxEdit ke marketplace The Sandbox untuk menjadi ASSET permainan dalam bentuk NFT. Buat masa ini, hanya artis voxel sahaja yang boleh mengeksport ASSET ke marketplace untuk dijual. Pemain boleh melihat tutorial menggunakan VoxEdit menggunakan pautan Sandbox Tutorial ini.

Sumber gambar: Medium

Marketplace

 

Marketplace merupakan tempat di mana pemain boleh membeli token seperti ASSET, LAND dan GEM.

Sumber gambar: The Sandbox

Rumusan

 

Kesimpulannya, permainan The Sandbox membuka ruang kepada mana-mana pemain untuk mencipta permainan dan content mengikut kreativiti tersendiri. Namun, untuk permulaan, pemain perlu mendapatkan LAND supaya dapat memajukannya. Secara umumnya, pemain boleh memperoleh token SAND melalui permainan yang terdapat di The Sandbox, membina permainan dan melalui permainan tersebut dan mencipta ASSET dan menjualnya.

Rujukan:

 
  1. The Sandbox
  2. Medium
  3. The Sandbox Official Documentation
  4. The Sandbox Whitepaper