2021-11-12

Panduan Menggunakan Discord bagi Newbie


Discord mula mendapat perhatian

 

Discord merupakan sebuah aplikasi yang ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Jason Citron dan Stanislav Vishnevskiy yang terlibat dalam industri permainan video. Discord dibina sebagai alat komunikasi dalam kalangan pemain video. Selang beberapa tahun, Discord mula berkembang luas bukan setakat dalam kalangan pemain malah melibatkan pengguna biasa. Ketika zaman Covid-19 melanda, Discord mempunyai melebihi 140 juta pengguna aktif pada akhir tahun 2020 berdasarkan data syarikat tersebut. Discord mempunyai pelbagai ciri-ciri yang disediakan sehingga berjaya menarik pelbagai pengguna di serata dunia.

Discord
 

Membuka akaun Discord

 

Platform Discord ini boleh dimuat turun secara percuma sama ada melalui PC atau peranti telefon mudah alih. Klik link yang tersedia di bawah untuk muat turun aplikasi Discord:

Membuka akaun

 

Selepas berjaya memuat turun platform Discord, anda dikehendaki mengisi e-mel, nama pengguna dan kata kunci. Tekan Continue dan anda telah berjaya membuka akaun Discord kepunyaan sendiri. Anda perlu mengesahkan terlebih dahulu alamat e-mel anda sebelum menggunakan akaun Discord anda sepenuhnya.

Isi maklumat
Gambar: Discord

Menyertai server Discord

 

Komuniti di Discord dibahagikan mengikut server. Anda boleh memilih untuk memasuki server yang anda kehendaki melalui pautan atau carian di dalam aplikasi ini. Sebagai contoh, jika anda hendak menyertai server CrepeToast, anda hanya perlu klik pada pautan ini.

Untuk penjelasan dengan lebih terperinci tentang cara memasuki server, mencipta server sendiri serta tetapan notifikasi, anda boleh rujuk blog kami yang bertajuk cara menyertai server Discord.

 

Teknik penipuan berlaku di Discord

 

Disebalik kerancakan penggunaan teknologi Discord sebagai medium komunikasi dalam kalangan pengguna, Discord juga tidak lari daripada berlakunya kes penipuan (scam) melibatkan golongan yang tidak bertanggungjawab. Penipuan ini selalunya berlaku melibatkan pengguna baharu Discord. Situasi ini terjadi berdasarkan konsep phishing.

Golongan ini akan menggunakan modus operasi dengan memberikan satu link baharu kepada pengguna. Dikatakan apabila pengguna menekan link tersebut akan diberikan ganjaran token atau akaun Discord Nitro. Discord Nitro adalah satu perkhidmatan berbayar yang mempunyai pelbagai kemudahan yang disediakan dalam Discord. Jika anda klik link tersebut, berkemungkinan anda akan memasuki ke halaman Discord yang palsu. Secara tidak langsung, penggodam akan mempunyai akses log masuk akaun anda.

Terdapat juga situasi dimana penipu ini akan berlakon sebagai admin dalam sesebuah server umum komuniti di Discord. Misalnya, penipu ni akan bertindak sebagai orang penting dalam CrepeToast dan menghantar link address kepada mangsanya. Kemudian, mangsa yang terpedaya akan klik link tersebut dan menghantar beberapa jumlah token sebagai ganjaran untuk mendapatkan faedah dalam menggunakan perkhidmatan CrepeToast.

 
contoh penipuan di discord
Contoh penipuan yang berlaku dalam Discord. Gambar: news.trendmicro.com
 

Kesimpulan

 

Walaupun discord memberikan manfaat kepada pengguna, namun ia juga memberikan peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan. Oleh itu, anda perlulah sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya apabila ditawarkan ganjaran oleh golongan tidak dikenali.